[MESKIPUN DIUJI PENYAKIT, TETAP PERAH KUDRAT TUANYA DEMI KELUARGA]

Hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan terhimpit dengan kesusahan menjadikan mereka bertambah susah. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, barang keperluan yang meningkat harga. Sedangkan pendapatan di tahap yang merudum. Inilah yang berlaku dan situasi yang menarik perhatian kami di MyFundAction.
Antaranya, kisah meruntun jiwa ketabahan warga emas yang memerah kudrat tuanya demi keluarga walaupun diduga penyakit. Encik Ramli bin Jantan berusia 65 tahun menghidap penyakit kencing manis sehingga terpaksa mengambil insulin setiap hari tanpa ketinggalan, hidupnya bergantung pada ubat. Beliau mula diserang penyakit ini sejak 2 tahun lalu apabila tiba-tiba rebah dan pitam.
“Saya ada kencing manis, darah tinggi. Saya terpaksa juga turun laut nak tanggung cucu-cucu, pendapatan saya itu je”, luahan sayu Encik Ramli yang bekerja sebagai nelayan untuk mendapatkan sumber rezeki mereka sekeluarga.
![]()
Biarpun hidup serba kekurangan, Encik Ramli dan isteri, Puan Kamariah tetap menjaga 3 orang cucunya selepas kedua ibu bapa mereka bercerai. Sukar untuk membayangkan kesusahan yang ditanggung mereka, lebih-lebih lagi cucu ke-2 mereka merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori lembam.
Cucunya itu kelihatan riang tanpa mengetahui masalah keluarga. Karenah dilayan tanpa jemu, ada ketika perlu mengikut kehendak cucunya itu untuk makan ikut seleranya.
Jika tidak dapat, nanti boleh mengamuk pula. Syukur ada adik bongsu berusia 8 tahun yang sabar melayan karenah abangnya itu. Tidak merasakan seperti dibuli, malah terus menyayangi. Lucu mendengar kisah mereka.
![]()
Sejak Encik Ramli sakit, cucunya, Mohammad mula menggalas tanggungjawab beliau yang sudah tidak boleh kerap untuk turun ke laut menangkap ikan. Meskipun umurnya baru berusia 18 tahun, Mohammad sanggup menjadi nelayan untuk membantu menyara keluarganya. Tiada kekesalan sekelumit keluar dari mulutnya.
“Bila tak cukup duit, saya terpaksa pinjam kawan untuk makan sekeluarga”, ujar Encik Ramli. Tambahnya lagi, kesempitan hidup semakin dirasai apabila tidak dapat turun ke laut. Berbagai cabaran yang mereka hadapi ketika di laut, tidak kira siang atau malam. Waktu bekerja bagi nelayan juga tidak menentu.
Hasil ikan yang tidak terjual itu beliau terpaksa bawa balik rumah dan jadikan sebagai lauk harian. Menurutnya, purata pendapatan bulanan mereka tidak sampai RM1,000 disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu. Ada yang sampai 5 hari tidak dapat ke laut akibat laut bergelora.
![]()
![]()
Pada bulan Ramadhan yang lalu, wakil kami sempat melawat dan berpeluang berkongsi rezeki berbuka juadah puasa bersama Encik Ramli sekeluarga. Beliau ada meluahkan rasa terkilan kerana langsung tidak dapat berpuasa atas faktor kesihatan. Alhamdulillah kedatangan kami dirai meriah.
Semasa kami menyatakan hasrat untuk berbuka bersama, keluarga ini menyimpankan hasil tangkapan seperti ketam untuk dijadikan juadah berbuka. Terharu kami walaupun mereka serba kekurangan namun kami tetap dilayan baik.
Senang hati kami dapat membantu keluarga ini, sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan yang ditanggung. Sebolehnya kami ingin membantu lebih ramai lagi asnaf dan keluarga yang senasib seperti mereka. Oleh itu, kami di MyFundAction dalam usaha menghasilkan sebanyak mungkin kotak Rezeki Ummat untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
_____________________________________________________
PROJEK REZEKI UMMAT
Kotak Rezeki Ummat merupakan kotak berisi keperluan asas buat mereka yang memerlukan. Lebih 15 barang keperluan asas di dalamnya seperti beras, minyak, biskut kering, susu, teh, gula, tepung dan lain-lain.
SASARAN SEBANYAK RM420,000 SEBULAN
- 1 kotak = RM140
- 3,000 kotak / sebulan
Projek ini memfokuskan pemberian kepada beberapa golongan di seluruh negara yang terkesan dalam usaha menangani penularan wabak pandemik. Antaranya:
1. Golongan B40, miskin dan miskin tegar.
2. Kurang Berkemampuan (OKU dan Orang Tua)
3. Bantuan pasca bencana
4. Masyarakat pedalaman (Orang Asli)
5. Hilang punca pendapatan
Sepanjang tahun 2020, anggaran seramai 133,025 orang telah mendapat manfaat daripada edaran kotak Rezeki Ummat. Kami mengalu-alukan kerjasama dan sokongan anda semua untuk terus bersama kami dalam usaha ini supaya lebih ramai dapat dibantu. Kami tidak mampu lakukannya sendirian, kami perlukan sokongan anda.
Semoga usaha ini dapat meringankan beban yang ditanggung dan pada masa yang sama dapat menambah beban pahala buat kita di Akhirat kelak InshaaAllah. Kotak Rezeki Ummat mampu memberikan senyuman kepada mereka, kami percaya masih ada yang bersimpati dengan nasib mereka. Ayuh berikan sinar kebahagiaan buat mereka!
Allah berfirman:
Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.”
(Qs. Al Hadid: 18)
![]()