[RISIKO TINGGI UNTUK MENGALAMI DARAH BEKU DI OTAK JIKA TIDAK JALANI PEMBEDAHAN DENGAN SEGERA]
Ramadan tiba kembali, semua ummat Islam menyambut dengan penuh semangat tetapi lain pula bagi ibu Syafiq. Kerisauan menyelebungi diri apabila anak bongsunya mengalami masalah jantung, walhal semasa dalam kandungan doktor tidak mengesyaki sebarang penyakit.
Muhammad Syafiq Naqib berusia 9 tahun dilahirkan pada tahun 2012. Sebulan selepas kelahirannya, Puan Norliza perasan pernafasan anaknya itu tidak stabil, naik turun dengan laju. Adik Syafiq dibawa ke klinik dan mendapati ada masalah pada jantung adik Syafiq.
Adik Syafiq dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu (HSNZ). Ketika menghadiri temujanji, doktor memberitahu terdapat lubang di jantung adik Syafiq dan saluran pada jantungnya juga sempit. Luluh hati seorang ibu mendengarkan khabar itu.
Waktu berlalu, tahun 2014 adik Syafiq dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN). Berita gembira yang disampaikan membuatkan Puan Norliza lega, saluran sempit pada jantung anaknya boleh dibetulkan dengan pembedahan.
Namun kegembiraan terhenti apabila pembedahan jantung terpaksa ditunda kerana ada risiko, adik Syafiq kerap demam. Tambahan pula ketika itu ibu bapanya bergelut konflik rumah tangga.
Satu demi satu ujian menimpa keluarga ini, Puan Norliza bercerai dengan Encik Sabah pada tahun 2014. Kasihan dengan nasib adik Syafiq yang perlu mengharungi penyakit ini tanpa ayah di sisi.
Penyakit yang dialami oleh adik Syafiq tidak menjatuhkan semangatnya untuk terus aktif, adik Syafiq tetap bergaul dengan orang lain seusianya. Bukan itu sahaja, adik Syafiq juga bijak dalam mengawal diri apabila keletihan.
Puan Norliza memberitahu kebiasaannya warna kulit adik Syafiq akan bertukar kebiruan di mulut, kaki, tangan dan kuku ketika penat.
Adik Syafiq kemudiannya dirujuk ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan. Menurut doktor, jumlah darah adik Syafiq tidak dapat disalurkan kerana saluran sempit yang dialaminya sangat teruk sehingga menyebabkan adik Syafiq selalu kebiruan.
Kebimbangan Puan Norliza bertambah apabila diberitahu bahawa adik Syafiq mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami darah beku di otak pada bila-bila masa.
Pembedahan perlu dilakukan namun kesempitan hidup membuatkan ibunya buntu. Puan Norliza bekerja sebagai pembantu perniagaan keropok keping dengan hanya peroleh RM20 sehari, itu pun tidak menentu.
Puan Norliza mempunyai 7 orang anak. Lebih memilukan, kenderaan utama mereka adalah motorsikal. Perjalanan ke hospital yang jauh memerlukan kos yang tinggi kerana perlu menyewa kereta.
RM60,650 diperlukan untuk pembedahan adik Syafiq, pembedahan ini sangat penting buat adik Syafiq kerana sekiranya tertunda lagi, ia akan memberi kesan kepada kualiti hidup dan jangka hayatnya.
Kami dari MyHeart bekerjasama dengan MyFundAction membuka tabung untuk membiayai keperluan pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan seperti keluarga adik Syafiq.
Kami sangat mengalu-alukan kerjasama dan sokongan anda semua untuk meringankan beban keluarga ini. Hasil kebersamaan yang anda kongsikan dapat memberi kekuatan kepada adik Syafiq untuk terus kuat melawan penyakitnya.
Harini kita lihat orang susah, semoga usaha murni kita dibalas lebih baik daripada tindakan kita lakukan harini. Tiada harta yang mampu beli 1 nyawa, ia sangat berharga.
========================================
Nama: Muhammad Syafiq Naqib bin Mohd Sabah
Umur: 9 Tahun
Nama bapa: Mohd Sabah
Nama ibu: Norliza
Tempat Tinggal: Marang, Terengganu
KEPERLUAN
Kos: RM60,650
1) Kos pembedahan RM60,000
- Cardiac Catheterization
- TOF Repair
2) Kos pengangkutan
3) Kos swab test
=======================================
Allah berfirman:
“Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”
(QS. Al Maidah: 32)
Disclaimer:
MyHeart dan MyFundAction menceritakan kisah adik Syafiq bagi menjayakan Tabung Jantung buat pesakit-pesakit jantung sepertinya. Hasil kutipan tersebut akan diberikan mengikut keperluan adik Syafiq dan lebihan akan diberikan kepada pesakit lain yang memerlukan. Boleh ikuti perkembangan pesakit di Facebook @MyHeartVolunteers