[LUMPUH SEUMUR HIDUP AKIBAT PENYAKIT TIDAK DIDUGA]
Luluh hati seorang ibu apabila mendapat tahu anaknya tidak dapat diselamatkan lagi. Adik Aliya Darwisyah, 7 tahun diserang penyakit Neuronal Ceroid Lipofuscinosis yang menyebabkannya terlantar seumur hidup.
Bukan itu sahaja, puan Zaitul Akma diduga sekali lagi dengan anak bongsunya, Adib yang mempunyai sakit yang sama seperti kakaknya. Dengan mengambil upah menjual kuih, agak berat bagi puan Akma untuk menyara keluarga dengan tambahan kos rawatan bagi kedua – dua anaknya itu.
DISANGKA SI IBU BAHAWA ANAKNYA MEMBESAR SECARA NORMAL
Pada awalnya, Aliya Darwisyah membesar secara normal dan sihat seperti kanak – kanak yang lain. Namun, segalanya berubah sekelip mata apabila adik Aliya kerap diserang sawan ketika umurnya 3 tahun.
Akibat daripada itu, adik Aliya dikejarkan ke hospital dengan segera. Setelah diselidik, doktor mengesahkan bahawa adik Aliya diserang penyakit genetik dan tidak dapat diselamatkan lagi kerana keadaannya yang semakin merosot.
Setelah beberapa kali diserang penyakit sawan, adik Aliya kemudiannya hilang keupayaan untuk berjalan walaupun sudah mula berjalan sejak umurnya 1 tahun.
Pernah adik Aliya cuba untuk berjalan, tetapi akan jatuh setiap kali cuba untuk menapakkan kakinya. Pada umurnya yang sepatutnya berlarian bermain seperti kanak – kanak lain, adik Aliya hanya mampu terlantar di atas katil.
Bukan itu sahaja, adik Aliya juga hanya mampu untuk minum susu menggunakan tiub di hidungnya. Malahan, makan dan pakai juga sudah tidak mampu dilakukan dirinya sendiri. Hidupnya kini amat bergantung harap dengan orang disekeliling terutama ibunya, puan Akma.
SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA
Tiada ibu yang ingin melihat anaknya menderita. Anak bongsu daripada 4 orang adik beradik tersebut juga ditimpa penyakit yang sama. Luluh hati si ibu terima berita tersebut. Sedih yang tidak dapat diungkapkan.
Adib, 5 tahun juga pada mulanya membesar seperti kanak – kanak lain yang normal cuma agak lambat daripada segi pertuturan. Gejala penyakit ini terhadap adik Adib juga mula dilihat sejak umurnya 3 tahun ketika adik Adib kerap diserang sawan.
Walaubagaimanapun, melalui pengalaman si ibu, adik Adib sudah mula menjalani rawatan berkala dengan pakar genetik di Hospital Kuala Lumpur sehingga kini. Untuk mengelakkan adik Adib menghadapi nasib yang sama dengan kakaknya, adik Adib telah memulakan rawatan semenjak Oktober 2019.
2 BERADIK TERPAKSA TERIMA RAWATAN SEUMUR HIDUP

