BAYI 1 TAHUN HILANG KEUPAYAAN UNTUK BERCAKAP, BERJALAN, BERNAFAS DAN MAKAN SECARA PERLAHAN
Setiap manusia yang sudah berkahwin pasti akan gembira apabila menerima cahaya mata pertama. Segala persiapan pasti akan dibuat untuk menyambut kedatangan cahaya mata. Begitulah yang terjadi pada keluarga kecil ini apabila menyambut cahaya mata pertama mereka, Nur Aileen Alfanisa Qalesya.
Namun, kegembiraan mereka hanya sementara apabila doctor mengesahkan Adik Aileen menghidap penyakit genetik ketika umurnya mencecah 8 bulan. Hancur hati Encik Aliff dan Puan Hidayah apabila dapat tahu bahawa anaknya tidak dapat membesar seperti kanak – kanak sebayanya.
DISANGKA ANAKNYA SIHAT SEPERTI KANAK – KANAK LAIN
Ketika Puan Hidayah masih mengandungkan Adik Aileen, dirinya perasan bahawa anaknya kurang menendang seperti kandungan yang normal. Tetapi Puan Hidayah tidak mengesyaki sebarang masalah yang bakal berlaku terhadapnya. Pada Februari 2020, Adik Aileen berjaya dilahirkan secara normal di Hospital Melaka. Alhamdulillah, tiada sebarang komplikasi yang berlaku pada Puan Hidayah disaat melahirkan anaknya.
Tetapi segalanya berubah apabila Puan Hidayah merasakan sesuatu yang pelik apabila anaknya masih belum mula mengiring ketika usianya sudah mencecah 5 bulan. Doktor juga merasakan perkara yang sama lantas Adik Aileen dirujuk ke klinik fisioterapi untuk rawatan selanjutnya. Sebulan kemudian, Adik Aileen masih tidak dapat duduk dengan sendiri. Lalu, pihak klinik menasihatkan untuk rujuk ke Hospital Melaka.
Setibanya di Hospital Melaka, Adik Aileen membuat pemeriksaan neurologi dan doktor mendapati bahawa badan Adik Aileen lemah dan lembik. Kedua – dua tangan dan kaki Adik Aileen juga tidak menunjukkan sebarang refleks.
Pada bulan Oktober 2020, doktor mengambil darah Adik Aileen untuk menjalankan ujian genetik dan keputusan menunjukkan Adik Aileen mempunyai penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) iaitu sejenis penyakit yang akan menyebabkan kerosakan saraf otot secara perlahan-lahan serta membuatkan pesakit hilang keupayaan untuk bercakap, berjalan, bernafas dan makan.
Diam tanpa sebarang kata. Tiada kata yang mampu diucapkan Puan Hidayah dan Encik Aliff apabila ditimpa ujian seberat ini terhadap anak pertama mereka. Lebih berat lagi apabila Adik Aileen dimasukkan ke hospital pada November 2020 akibat jangkitan kuman pada paru – paru Adik Aileen.
Disebabkan oleh jangkitan tersebut, Adik Aileen tidak dapat makan secara normal kerana akan tersedak setiap kali Puan Hidayah menyuapkan makanan ke mulut anaknya. Oleh itu, Adik Aileen terpaksa makan menggunakan tiub melalui mulutnya. Adik Aileen ditahan di wad selama 2 minggu sebelum dibenarkan pulang. Setelah itu, Adik Aileen perlu menghadiri temujanji dengan pakar kanak – kanak, genetic dan fisioterapi di Hospital Melaka.
KEPERLUAN DAN RAWATAN TERKINI
Kesihatan Adik Aileen mula merosot sejak bulan Mac yang lalu. Adik Aileen kerap demam dan sukar untuk bernafas. Apabila dibawa ke hospital, doktor mendapati bacaan oksigen Adik Aileen berada di tahap yang rendah dan terpaksa ditempatkan di PICU sebelum dipindahkan ke wad biasa. Doktor juga mencadangkan untuk menggunakan tiub secara terus ke perut bagi memudahkan Adik Aileen untuk makan dan bernafas.
Kemudian, Adik Aileen dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan pernafasan dengan menggunakan mesin BIPAP. Mesin BIPAP dapat membantu Adik Aileen untuk bernafas dengan mendapatkan oksigen lebih banyak ke dalam darahnya. Adik Aileen dibenarkan pulang ke rumah pada 3 Mei 2021 bersama mesin BIPAP yang disewa dengan kos sebanyak RM400 sebulan.
Kemudian, Adik Aileen sekali lagi dimasukkan ke Hospital selama 10 hari disebabkan jangkitan kuman pada paru – parunya. Kini, Adik Aileen hanya terlantar di rumah dan menjalani sesi fisioterapi secara atas talian seminggu sekali yang dikendalikan oleh kumpulan sokongan SMA. Selain itu, Adik Aileen perlu menghadiri temujanji di Hospital Kuala Lumpur setiap 4 bulan sekali.
PROJEK: NUR AILEEN ALFANISA QALESYA
Kami daripada MyHeart mencadangkan untuk memberi mesin BIPAP persendirian secara percuma agar Puan Hidayah dan Encik Aliff tidak perlu menyewa mesin BIPAP sedia ada. Dengan pemberian mesin ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga kecil ini.
Oleh itu, kami daripada MyHeart bekerjasama dengan MyFundAction ingin mengajak anda bersama kami dalam merealisasikan projek ini untuk meringankan beban Adik Aileen sekeluarga dan pesakit – pesakit lain sepertinya. Kami terlebih dahulu mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda yang sudi bersama kami menjayakan projek ini.
Kami menyediakan beberapa pakej untuk memudahkan anda berkongsi rezeki bersama kami:
Tabung MyHeart RM 500
Tabung MyHeart RM 200
Tabung MyHeart RM 100
Tabung MyHeart RM 50
Tabung MyHeart RM 30
Semoga dengan usaha ini dapat memberikan senyuman kepada keluarga kecil ini dan pesakit lain seperti Adik Aileen.