[DERITA DIUJI PELBAGAI PENYAKIT]
Puan Che Zilawati, 41 tahun menghidap pelbagai penyakit semenjak 2016. Sebelum ini, Puan Zilawati bekerja di salah sebuah kilang di kawasan rumahnya.
Seperti insan lain, Puan zilawati berusaha untuk mencari pendapatan sendiri. Tetapi, segalanya berubah apabila kakinya dipotong pada 2017 akibat penyakit kencing manis.
Selepas itu, satu demi satu penyakit menimpa Puan Zilawati. Disebabkan penyakitnya, Puan Zilawati perlu mendapatkan rawatan berkala melalui temujanji di hospital. Tidak mempunyai kenderaan menjadi halangan besar buatnya setiap kali perlu menghadiri temujanjinya yang kerap
[SEDIKIT DEMI SEDIKIT DITIMPA UJIAN YANG BERAT]
Puan Zilawati didiagnos penyakit kencing manis di Hospital Raja Perempuan Zainab selepas mendapat luka dikawasan kakinya. Lukanya semakin merebak dan doktor mengambil keputusan untuk memotong kaki kirinya di kawasan tumit. Selepas itu, Puan Zilawati diuji sekali lagi penyakit buah pinggang tahap 3 pada tahun 2017.
Pada tahun 2020, Puan Zilawati telah dimasukkan ke wad untuk melakukan pembersihan luka kerana ada luka pada bahagian belakang akibat baring yang terlalu lama.
Manakala pada November 2020 pula, Puan Zilawati dimasukkan semula ke wad kerana kaki kanannya pula mula merah dan membengkak.
Doktor memberitahu bahawa jangkitan kuman telah merebak ke kaki kanannya dengan cepat. Bagi mengelak daripada keadaan dirinya semakin teruk, doktor terpaksa memotong kaki kanannya pada bahagian bawah lutut.
Tidak disangka Puan Zilawati bahawa dirinya telah kehilangan kedua – dua belah kakinya pada usia yang masih muda. Oleh sebab itu juga Puan Zilawati sekaligus menjadi pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).
Mac 2021 pula menjadi tarikh keramat, doktor mengesahkan bahawa kedua belah matanya pula mempunyai selaput mata. Doktor menasihatkan Puan Zilawati untuk membuat pembedahan dengan segera. Tetapi akibat daripada kesihatannya yang tidak stabil, pembedahan tersebut terpaksa ditahan dahulu sehingga tarikh yang lain.
Kini, Puan Zilawati bergerak dengan menggunakan kerusi roda diluar dan hanya mengesot jika berada di dalam rumah. Tidak dikurniakan anak semenjak dari awal perkahwinan menjadikan diri Puan Zilawati sudah biasa berdikari sendiri di rumah tanpa bantuan sesiapa sementara suaminya keluar mencari rezeki. Penglihatannya pula semakin teruk dari hari ke hari akibat daripada selaput mata yang semakin menebal.
[RAWATAN DAN KEPERLUAN TERKINI]
Puan Zilawati perlu menghadiri temujanji setiap minggu di Hospital Raja Perempuan Zainab untuk rawatan tulang, mata dan buah pinggang. Selain itu, Puan Zilawati juga perlu menghadiri temujanji di Hospital Tumpat untuk rawatan fisioterapi.
Sehingga kini, Puan Zilawati akan pergi ke temujanji dengan adiknya, Encik Johari yang terpaksa berulang alik dari Bachok ke Tumpat setiap minggu.
Hal ini kerana, Encik Johari sahaja yang mempunyai kereta dan mampu membawa kakaknya yang berkerusi roda untuk pergi ke temujanji tersebut.
Walaupun begitu, pendapatan Encik Johari tidaklah seberapa. Hanya cukup untuk menyara isteri dan tiga orang anaknya sahaja. Keadaan agak sukar buat Encik Johari bagi menanggung kos ulang alik yang memakan masa lebih dari satu jam.
Kerusi roda kini digunakan Puan Zilawati hasil daripada pemberian jirannya selepas kakinya dipotong. Tetapi, keuzuran kerusi roda itu menyebabkan ianya tidak dapat digunakan.
PROJEK: CHE ZILAWATI
Oleh itu, kami daripada MyHeart dan MyFundAction membuka tabung buat Puan Zilawati dan pesakit – pesakit lain sepertinya. Kami mencadangkan untuk memberi kerusi roda yang baru dan membantu kos pengangkutan dari segi perkhidmatan klinik bergerak bagi memudahkan pergerakan ulang alik Puan Zilawati ke hospital. Sekaligus dapat meringankan beban suami dan adiknya Encik Johari.
Kami menyediakan beberapa pakej untuk anda bersama kami dalam menjayakan projek kali ini.
Tabung MyHeart RM500
Tabung MyHeart RM200
Tabung MyHeart RM100
Tabung MyHeart RM50
Tabung MyHeart RM30
Semoga dengan usaha kali ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga Puan Zilawati dan pesakit lain sepertinya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa orang yang meringankan beban orang lain walaupun hanya dengan nilai yang sedikit.