HILANGNYA GELAK TAWA SEORANG KANAK – KANAK DISEBABKAN KANSER

Adik Waldan yang dahulunya aktif berlari dan bermain kini hanya terlantar tidak mampu berbuat apa – apa. Luluh hati si ibu dan bapa melihat keadaan anak mereka tidak seperti kanak – kanak sebayanya.
Ibu bapa mana yang sanggup melihat anaknya menderita. Lebih – lebih lagi apabila diberitahu anaknya menderita penyakit kanser. Begitulah yang terjadi kepada Adik Waldan Yusuf, 2 tahun. Encik Sabri dan Puan Suhaila kedua – duanya sudah mencuba pelbagai ikhtiar buat anak bongsunya supaya dapat sembuh dengan cepat.
DISANGKA CUMA SAWAN, RUPANYA DISERANG KANSER OTAK
Segalanya bermula pada Februari yang lepas apabila Adik Waldan tiba – tiba muntah ketika sedang tidur. Awalnya, Encik Sabri tidak mengesyaki apa – apa yang teruk terjadi sehinggalah mulut anaknya mengeluarkan air liur dan buih tidak lama kemudian. Ketika itu, Adik Waldan diserang sawan.
Kemudian, Adik Waldan dikejarkan ke klinik kesihatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka. Puan Suhaila memberitahu doktor bahawa anaknya terjatuh pada malam sebelumnya dan mungkin menjadi punca diserang sawan. Mendengar kenyataan ibunya, doktor terus membuat ujian CT di kepala Adik Waldan.
Keputusan CT menunjukkan bahawa terdapat ketumbuhan di bahagian kepala. Lantas Adik Waldan terus dikejarkan ke pakar di Hospital Kuala Lumpur selama 5 hari. Pada hari ke – 4, Adik Waldan menjalani ujian MRI dan mendapati kanser otak telah menutup saluran cecair sehingga menyebabkan cecair dalam otak meningkat. Keesokan harinya, Adik Waldan dibenarkan pulang kerumah sementara menunggu rawatan seterusnya.
Sebelum pulang, doktor memberi masa kepada kedua ibu bapanya untuk membuat keputusan pembedahan dalam tempoh seminggu. Walaupun pembedahan dapat membuang kanser tersebut, kemungkinan untuk Adik Waldan koma amat tinggi jika pembedahan dijalankan.
Oleh sebab itu, mereka tidak bersetuju untuk menjalani pembedahan tersebut. Alternatif lain, doktor menjalankan ujian biopsi untuk mengetahui jenis sel kanser di otak Adik Waldan. Selepas prosedur biopsi dijalankan pada bulan Mac 2021, Adik Waldan tidak dapat bangun dengan sendiri dan matanya lumpuh. Adik Waldan ditahan di wad selama sebulan.
RAWATAN TERKINI ADIK WALDAN
Doktor ada menawarkan untuk membuat rawatan kemoterapi atau radioterapi, namun Encik Sabri dan Puan Suhaila menolak rawatan tersebut kerana tiada jaminan bahawa rawatan tersebut akan berjaya memulihkan anaknya kembali seperti dahulu.
Dahulu, Adik Waldan sangat aktif seperti kanak – kanak yang lain. Menurut ibunya, Adik Waldan sangat suka menyanyi, bercakap dan belajar dengan sendiri. Namun, akibat penyakit yang dihadapi, perubahan diri Adik Waldan sangat ketara. Adik Waldan hanya akan termenung jika dipanggil dan tiada respon yang diberikan.
Tambahan lagi keadaannya yang semakin teruk dari hari ke hari. Pada awalnya cuma bahagian kiri badannya sahaja yang lumpuh, kini bahagian kanan sudah mula menunjukkan tanda – tanda seperti kebas. Adik Waldan juga terpaksa mengambil ubat sawan kerana dirinya kerap diserang sawan.
Kini, Adik Waldan akan menjalani janji temu di Hospital Kuala Lumpur setiap 2 bulan. Di sana, Adik Waldan akan bertemu dengan pakar pembedahan, endokrin, mata, ENT dan palliatif. Doktor juga menyarankan supaya Adik Waldan diberi minum susu Peptamin Junior untuk memberi nutrisi yang cukup buat pembesarannya. Tetapi, apakan daya ibu dan ayahnya tidak mampu untuk memberikan susu tersebut kepadanya kerana harga yang terlalu mahal. Lalu mereka memberikan susu jenis lain.
PROJEK : TABUNG KANSER ADIK WALDAN
Oleh itu, kami daripada MyHeart bekerjasama dengan MyFundAction membuka tabung kanser untuk melengkapkan keperluan Adik Waldan serta pesakit – pesakit lain sepertinya. Kami terdahulu mengucapkan jutaan terima kasih buat anda yang sudi berkongsi rezeki bersama kami dalam menjayakan projek ini.
Kami juga menyediakan beberapa pakej bagi memudahkan anda berkongsi rezeki bersama kami:
Tabung MyHeart RM500
Tabung MyHeart RM200
Tabung MyHeart RM100
Tabung MyHeart RM50
Tabung MyHeart RM30
Semoga dengan perkongsian anda bersama kami dapat memberikan sinar baharu terhadap Adik Waldan dan keluarga. Mari bersama mendoakan kesihatan Adik Waldan supaya kembali pulih seperti dahulu.