
[Special Iftar For Ummah kini kembali untuk persediaan menyambut Ramadhan 2021]
Ramadhan 2021 jatuh pada bulan April akan datang. Pejam celik sudah hampir setahun kita harungi wabak ini. Namun kita semua mengharapkan Ramadhan tahun ini akan disambut seperti tahun-tahun sebelumnya secara normal.
Rindu, rindu kami kepada solat Tarawih berjemaah di masjid. Rindu kami kepada suasana bazaar Ramadhan yang dipenuhi orang ramai, mencari dan membeli juadah untuk berbuka.
Akan tetapi Islam mengajar kita untuk menghayati Ramadhan bukan dari segi suasananya sahaja, malah mengajak kita untuk memperbanyakkan amal ibadah, mendekati anak-anak yatim, memberi makan orang yang berpuasa dan banyak lagi.
Berkongsi, adalah suatu perbuatan yang hampir semua orang mampu lakukan, tetapi tidak kepada semua perkara. Ada yang berkongsi untuk berlaku adil, punya rezeki lebih, beri sedikit daripada rezeki kita buat mereka.

Kami daripada MyFundAction percaya, Allah kurniakan rezeki lebih buat kita kerana itu adalah ujian buat kita. Lebih banyak harta kita ada, lebih banyak tanggungjawab kita terhadap ummat.
Menurut hadith dari Abu Hurairah RA, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:
“Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.”
(HR.Tirmidzi No 735)
Kami ingin mengajak anda semua untuk menjayakan program Special Iftar For Ummah 2021 ini dengan berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.
Pada tahun ini, kami dengan rendah diri ingin mengajak anda bersama jayakan program Special Iftar For Ummah bagi tahun 2021. Tiada pemberi jika tiada yang menerima, kerana tangan yang memberi lebih mulia daripada yang menerima.
