ANGGARAN RM15,000 DIPERLUKAN UNTUK KOS RAWATAN SUSULAN, KERUSI RODA DAN SUSU

“INGATKAN SAKIT KEPALA BIASA, RUPA-RUPANYA STROKE”
Strok/angin ahmar adalah penyakit yang merbahaya yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal. Berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), anggaran hampir 20 juta penghidap stroke di seluruh dunia pada 2001, 5.5 juta daripadanya telah meninggal dunia.
Di Malaysia, statistik hospital-hospital kerajaan menunjukkan peningkatan ketara pesakit Stroke dan kematian akibatnya. Di Hospital Kuala Lumpur data statistik mencatatkan 30-35 peratus kematian daripada 1000 kes penghidap Stroke yang sedang dirawat.
Stroke tidak mengenal usia, golongan muda juga berisiko. Adik Amirul, berusia 19 tahun kini telah menghidap stroke sejak Jun 2017. Adik Amirul merupakan alumni Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS) dan sangat aktif, sekelip mata keadaannya berubah. Sejak itu, makan minumnya hanya bergantung pada tiub yang disalurkan terus ke perut.
Pada awalnya disangka hanya sakit kepala biasa sehingga dirinya lesu dan lemah satu badan. Adik Amirul dibawa ke Klinik Kesihatan Alor Pongsu, didapati ada tanda-tanda stroke lalu dikejarkan ke wad Hospital Taiping dengan ambulan seawal 3 pagi.
Setelah diimbas, otak adik Amirul sebelah kiri dan bahagian bawah sudah stroke. Doktor mencadangkan untuk menjalani pembedahan dengan segera. Adik Amirul menjalani pembedahannya di Hospital Ipoh yang berlangsung selama 4 jam.
Kini adik Amirul sudah boleh mula berdiri dan berjalan menggunakan tongkat tetapi pada jarak yang dekat sahaja, boleh pergi ke tandas sendiri. Adik Amirul masih boleh bercakap namun suaranya kedengaran lemah. Adik Amirul tidak boleh makan dan minum seperti orang lain, buat masa ini hanya minum susu melalui tiub di perutnya kerana tidak boleh menelan makanan. Walaupun stroke, Alhamdulillah anggota belah kanannya masih berfungsi. Adik Amirul bijak dan pandai, mahir menggunakan segala teknologi termasuk telefon bimbit dan komputer riba.
Adik Amirul perlu mendapatkan rawatan susulan. Anggaran dalam RM15,000 untuk kos rawatan susulan, kerusi roda dan susu Ensure 850G yang berharga RM86 setin. Satu tin hanya boleh bertahan selama 2 hari kerana adik Amirul perlu minum lebih kurang 15 tin sebulan dan 5 kali sehari. Bapanya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan ibunya pula suri rumah tidak mampu untuk membiayai segala kos yang diperlukan.
Kami dari MyHeart membuka tabung buat pesakit-pesakit seperti adik Amirul di seluruh Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Kami mengalu-alukan kerjasama dan sokongan anda untuk membantu pesakit muda yang memerlukan peralatan dan kemudahan perubatan.
Jom ramai-ramai penuhi keinginan adik Amirul untuk kembali sihat seperti remaja lain. Adik Amirul perlukan sokongan dan dorongan anda semua! Semoga bantuan anda sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga ini.
KEPERLUAN
1. Kos rawatan susulan
- Hospital Taiping
- 2 bulan sekali di Jabatan Pesakit Luar
- 6 bulan sekali di Jabatan Surgeri
- 1 bulan sekali untuk kawalan International Normalized Ratio (INR) atau Warfarin di Hospital Parit Buntar
2. Kerusi Roda
3. Susu Ensure 850g (RM86 satu tin)
- Memerlukan 15 tin sebulan
Allah berfirman:
“Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (QS. Al Maidah: 32)
Harini kita lihat orang susah, semoga usaha murni kita dibalas lebih baik daripada tindakan kita lakukan harini. Tiada harta yang mampu beli 1 nyawa, ia sangat berharga.